ISB raikan pelajar berjaya mencapai DofE International Award




Siaran Akhbar dan Foto : International School Brunei





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 April. - Pelajar International School Brunei (ISB) yang berjaya meraih Duke of Edinburgh (DofE) International Awards peringkat emas, perak dan gangsa bagi tahun akademik 2025/2026 di ISB secara rasmi menerima sijil sebagai tanda kejayaan mereka pada DofE International Award Ceremony yang berlangsung di Teater ISB, baru-baru ini.


Majlis berkenaan diadakan bagi meraikan para penerima DofE International Award atas pencapaian mereka, serta dedikasi dan ketekunan mereka dalam mencapai anugerah yang sememangnya layak diterima.


Bagi tahun akademik semasa di ISB, seramai 43 pelajar dari ISB Secondary dan ISB's International Baccalaureate Diploma Programme telah meraih pencapaian penting berkenaan, dengan dua anugerah emas, tujuh perak dan 34 gangsa berjaya diraih.


Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah merupakan antara pelajar ISB yang mencapai anugerah gangsa DofE International Award.


Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Sekolah Menengah ISB, Dr. Peter Jones; Timbalan Ketua Sekolah Menengah ISB, Ai Ling Wong; Head of Enrichment di ISB, Ashley David; para penyelia dan penilai DofE International Award; serta ibu bapa dan ahli keluarga pelajar yang menerima anugerah.


Semua peringkat DofE International Award memerlukan peserta melibatkan diri dalam empat komponen utama, iaitu kesukarelawanan, kemahiran, rekreasi fizikal dan ekspedisi yang dikenali sebagai Adventurous Journey.


Bagi anugerah emas, terdapat tambahan komponen Residential, dengan peserta menghabiskan lima hari dan empat malam berturut-turut dalam persekitaran kediaman sambil bekerjasama dengan individu baharu untuk mencapai matlamat bersama.


Dr. Peter Jones dalam ucapannya pada majlis berkenaan berkata, kita hidup dalam dunia yang sering mengutamakan kejayaan mudah. Namun, Duke of Edinburgh's International Award adalah bertentangan dengan konsep 'segera'.


Jelasnya, ia merupakan satu perjalanan maraton kendiri.


“Kepada para penerima, awda bukan sekadar menghadapi cabaran, awda berani mencuba. Awda telah menghayati semangat sebenar sekolah kita, dan pada malam ini, kita meraikan ketahanan dan kecekalan awda," katanya lagi.


ISB berbangga kerana telah melaksanakan DofE International Award sejak 2015. Diiktiraf secara meluas sebagai anugerah pencapaian belia terkemuka di dunia, DofE International Award merupakan rangka kerja global bagi pendidikan dan pembelajaran tidak formal yang mencabar golongan muda untuk bercita-cita tinggi, meraikan pencapaian mereka, serta memberi impak kepada dunia.


Melalui pembangunan kemahiran yang boleh dipindah, meningkatkan tahap kecergasan mereka, memupuk semangat pengembaraan dan penglibatan dalam aktiviti sukarelawan komuniti, anugerah berkenaan membantu golongan muda mencari tujuan, minat dan peranan mereka dalam dunia. Program berkenaan beroperasi di lebih 140 negara dan wilayah, serta memberi inspirasi kepada jutaan belia.


Pelajar ISB yang menyertai skim DofE International Award telah meningkatkan keyakinan diri, daya tahan serta kemahiran kerja berpasukan mereka sambil menyelesaikan semua cabaran dalam tempoh masa yang ditetapkan.


Pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh akan mengukuhkan permohonan ke universiti serta peluang pekerjaan pada masa hadapan.

Close